Penemuan Petai Gergasi Gemparkan Penduduk



Petai gergasi yang menggemparkan penduduk


Sesungguhnya, masih banyak rahsia alam yang tidak diketahui oleh manusia. Semua keajaiban ini menanti kita untuk membongkarnya. Terbaharu, buah yang mirip petai berukuran gergasi ditemukan  oleh penduduk di Banjarnegara, Jawa Tengah, tular di laman sosial.

Ketua Pemeliharaan Daerah Wonosobo, Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA), Jawa Tengah, Adi Antoro berkata, buah itu dikenali sebagai entada dan meminta penduduk tidak memetik dan memakan buah tersebut.

"Kami telah pergi ke lokasi itu, pokoknya berada di rizab hutan Pringamba 2. Ini bukan petai, tapi entada jenis liana. Tumbuhan ini juga tidak boleh dimakan,” katanya kepada Detik News.

Tambahnya lagi, buah sepanjang 120 sentimeter ini merupakan jenis kekacang dan rasanya pahit.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai seorang pemuda dikenali sebagai Bahrin menemui 'petai' gergasi ketika memasuki hutan untuk mencari sumber air.

Menurutnya, selama ini belum ada penduduk menemui 'petai' itu dan penemuan ini ternyata luar biasa.

"Pokoknya berada di rizab hutan dan untuk ke sana jarakya kira-kira tujuh kilometer dari perkampungan kami.

"Kerana teruja melihat pertama kali, saya bawa pulang untuk ditunjukkan kepada penduduk lain. Apabila dikopek buah ini, bijinya berwarna putih namun kami tidak memakannya kerana bimbang beracun," katanya.