Pasangan Jenis Anak Mak? 10 Tips Paling 'Win' Untuk Tawan Hati Bakal Mak Mentua Anda!


SY | 27-03-2020


Bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga, pastinya langkah yang paling penting untuk diambil adalah mengambil hati bakal mentua.

Menambat hati bakal mentua bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi hati ibu pasangan anda. Lagi merunsingkan fikiran jikalau pasangan anda itu merupakan anak sulung atau anak tunggal.

Ini kerana ada sesetengah ibu bapa yang merasakan kurang selesa dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka. Ada juga sesetengah ibu bapa yang risau dengan pilihan pasangan hidup anak mereka kerana dikhuatiri ianya tidak akan kekal.

Namun begitu ini bukanlah sesuatu perkara yang anda perlu takuti kerana untuk menjadi orang baru dalam sesebuah keluarga itu, anda hanya perlu ada keinginan dan kesediaan untuk mempelajari rentak keluarga itu.

Tahu sajalah apabila berkahwin kelak, anda bukan hanya mengahwini pasangan anda itu tetapi turut berkahwin dengan seluruh ahli keluarganya. Oleh itu, kami di SAYS Seismik akan kongsikan beberapa tips untuk anda memikat bakal mentua anda.

Ikuti tips memikat hati bakal ibu mentua anda di bawah:

 

1. Lakukan homework terlebih dahulu tentang ibu pasangan anda

Cuba kenali rentak ibu pasangan anda dengan bertanyakan kepada pasangan anda terlebih dahulu. Contohnya seperti minatnya. Jika ibu pasangan anda minat memasak, cuba luangkan masa dengan berbual tentang tips masakan bersama ibu pasangan anda. Jika minatnya lebih kepada membeli-belah, luangkan masa bersama-samanya membeli-belah.

 

2. Jaga penampilan dan pemakaian anda

Tanggapan pertama keluarga mentua adalah amat penting agar tidak menjejaskan reputasi diri anda dalam memastikan hubungan itu berkekalan. Oleh itu, anda perlulah menjaga penampilan diri dan pemakaian anda untuk sentiasa kelihatan kemas dan sopan di mata bakal mentua. Contoh berpakaian sopan yang paling ideal adalah baju kurung kerana ianya tidak menjolok mata dan sedap mata memandang.

 

3. Selitkan pujian yang boleh menggembirakannya

Ketika sedang berbicara dengan ibu pasangan anda, selitkan sedikit pujian seperti memuji masakan yang dihidangnya, ataupun memuji caranya menguruskan rumah. Pendek kata, sentiasa bermulut manis. Namun begitu jangan terlalu over pula nanti takut dia beranggapan bahawa anda seorang kaki bodek.

 

4. Ringankan tangan menolong ibu pasangan anda

Ketika anda melawatnya, rajinkan diri anda dengan membantunya melakukan kerja-kerja seperti memasak, mencuci pinggan dan sebagainya. Tunjukkan akhlak dan pertuturan yang baik kerana sikap ini menggambarkan keperibadian anda. Di samping itu, bakal mentua anda mungkin juga sedang menganalisa anda dalam diam berdasarkan keupayaan memasak atau keupayaan mengemas rumah. Manakan tidak, andalah yang akan menjaga anaknya kelak.

 

5. Jangan bercakap tentang perkara-perkara sensitif

Anda dan pasangan anda pasti sering berkongsi segala cerita termasuk masalah keluarga yang kadang-kadang mungkin dilihat agak sensitif. Tetapi walaupun pasangan anda bercakap dengan anda, itu tidak bermakna anda boleh bercakap mengenainya kepada ibu pasangan anda. Sedarilah bahawa tidak semua perkara dapat menjadi topik perbualan dengan bakal mentua. Jika dia tidak membincangkannya terlebih dahulu, lebih baik anda mendiamkan diri. Dan sekiranya topik itu menjadi perbualan juga, anda perlulah tahu batasannya.

6. Sentiasa menjaga percakapan dan tingkah laku

 

Pastikan anda sentiasa menjaga tutur kata, intonasi percakapan dan tingkah laku anda agar tidak terguris hati ibu pasangan anda itu. Sekali anda terkecilkan hati mereka, pasti susah untuk merawatnya kembali. Bak kata pepatah 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Jika ibu pasangan anda merupakan seorang yang pendiam, sesekali cuba untuk berkomunikasi dengan mereka seperti bertanyakan tentang hobi dan pekerjaan mereka.

 

7. Sentiasa berikan perhatian kepadanya

Tunjukkan minat yang mendalam terhadap sebarang perkara yang diceritakannya. Biasanya apabila dia berasa selesa dengan anda dia akan mula bercerita mengenai dirinya, keluarga, atau mungkin mengenai anak lelakinya iaitu pasangan anda. Berikan reaksi positif di atas ceritanya. Berikan juga perhatian lebih pada hari-hari istimewa, seperti hari ulang tahunnya atau ulang tahun perkahwinan. Berikan hadiah berupa benda yang dia sukai. Dijamin pasti bakal mentua anda akan merasa dihargai dan dia pun akan semakin suka kepada anda.

 

8. Cuba untuk berkongsi minat yang sama dengannya

Sebenarnya ini peluang anda untuk tawan hati ibu pasangan anda dari awal. Cuba selami minatnya dan lakukan aktiviti itu sama-sama. Sebagai contoh, sekiranya dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukainya. Belajar bersungguh-sungguh manakan tahu anda mungkin di-upgrade jadi menantu kesayangan!

 

9. Mengalah bukan bererti kalah

Dengan bakal mentua ataupun apabila sudah menjadi mentua ini kena selalu mengalah. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang anda tidak berapa setuju, namun lebih baik angguk-anggukkan sahaja. Lebih baik mengiyakan sahaja dengan apa sahaja tindakan yang dia buat. Walaupun kadang-kadang panas hati juga, pilihlah untuk bersabar. Itukan lebih baik. :)

 

10. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama

 

Jika anda inginkan usaha yang lebih berkesan untuk memikat hati ibu pasangan anda, belikan dia buah tangan atau apa sahaja sebagai tanda mengingatinya. Lebih menarik jika anda tahu makanan kesukaannya, boleh juga dijadikan buah tangan. Masakan daripada hasil tangan anda pasti ada auranya tersendiri. Mudah-mudahan lembut hati bakal ibu mentua setelah melihat keperibadian anda yang tidak berkira.

 

Semoga dengan tips ini, anda berjaya memikat hati bakal ibu mentua anda. Silap hari bulan, anda menjadi menantu pilihan!

Semoga berjaya semua!

 

kredit : Says.com