Saintis China dakwa individu berdarah A mungkin lebih mudah dijangkiti Covid-19


SY | 18-03-2020


Kajian terbaru mendapati jenis darah mungkin mempunyai respon berbeza dengan jangkitan koronavirus terbaru, Covid-19 ini.

Menerusi kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Hospital Zhongnan, Universiti Wuhan, mereka mendakwa individu berdarah ‘A’ mungkin lebih mudah dijangkiti Covid-19 manakala individu berdarah ‘O’ mempunyai risiko jangkitan yang lebih rendah.

Berdasarkan laporan South China Morning Post, pasukan penyelidik telah membandingkan jenis darah antara individu sihat dengan lebih 2,000 pesakit Covid-19 di Wuhan dan Shenzhen.

Hasilnya, ujian itu mendapati pesakit berdarah ‘A’ memiliki kadar jangkitan lebih tinggi dan mempunyai simptom yang lebih teruk.

Biarpun kajian tersebut masih pada peringkat awal, para penyelidik menyarankan kerajaan untuk mengambil kira faktor perbezaan darah dalam merancang langkah mitigasi atau ketika merawat individu yang telah dijangkiti.

“Individu yang mempunyai darah jenis ‘A’ mungkin memerlukan lebih perlindungan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Pesakit COVID-19 berdarah ‘A’ mungkin memerlukan pemantauan yang lebih rapi dan rawatan yang lebih agresif,” tulis Wang Xinghuan, ketua penyelidikan kajian berkenaan.

Sehingga kini, sebanyak 189,196 kes dengan 7,511 kematian telah dilaporkan di seluruh dunia. Eropah turut diisytiharkan sebagai pusat penularan wabak dengan peningkatan kes mendadak di Itali dan Sepanyol.

Sebanyak 2,158 kematian dicatatkan di Itali diikuti 509 kematian di Sepanyol, dua negara Eropah paling teruk dilanda wabak ketika ini.

Sementara itu di Malaysia, dua kematian pertama turut dicatatkan hari ini melibatkan pesakit masing-masing berusia 34 dan 60 tahun.

Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas menunjukkan gejala demam, kesukaran bernafas dan disahkan positif COVID-19.

Sebanyak 673 kes di Malaysia dilaporkan setakat ini dengan peningkatan sebanyak 120 kes dalam tempoh 24 jam sejak semalam.

Sumber: South China Morning Post