Pengalaman kerja ladang di Australia bagaikan Neraka!


 Keadaan kami tak menentu. Dengan hari bekerja yang makin kurang dan duit simpanan yang makin susut. Jika dibuat kira-kira, dengan jumlah upah terkumpul dan duit sewaan yang makin bertambah, jumlah akhirnya hampir mencecah negatif. Dan jika punya baki, hanyalah sekadar beberapa dolar. Dan sewaktu ini, banyak masa kami berdua dihabiskan di sharehouse atau di perpustakaan.

 

Minggu itu juga jika aku ke ladang, pasti akan ada konflik yang dicetuskan oleh pekerja lain dan supervisor. Belum ditambah dengan kerenah housemate lain yang masing-masing mengadu domba, besar kepala dan berlagak hebat. Benda-benda remeh yang mereka nak persoalkan. Kalau di ladang zucchini, supervisornya beberapa minah saleh dan mamat Taiwan yang songehnya sampai tahap kau nak bagi lutut ke muka setiap seorang.

 

Untuk zucchini, ada saiz dan sifat fizikal yang dikategorikan sebagai bagus untuk dipetik. Panjangnya tidak boleh melebihi 1 kaki atau secara kasarnya, dari pergelangan tangan hingga ke pelipat di siku. Dan tidak diterima lebih besar daripada itu atau jika terdapat walau sedikit calar atau terkopek pada kulitnya. Dan juga tidak diterima sekiranya ada bahagian yang busuk atau reput. Pokok zucchini ini seakan menjalar dipermukaan tanah dengan bahagian batang yang agak kasar dan tajam.

 

 

Maka, boleh bayangkan atau tidak? Kadang, kesan calar itu bukan disebabkan aku, tapi dek kerana permukaan tanah atau batangnya sendiri. Dan sudah pasti jika disebabkan perkara itu, susah untuk aku perhati-belek satu per satu. Mengejar masa. Jika lambat juga akan dimaki. Dan si supervisor ini sedaya upaya akan mencari kesalahan aku dan isi bucket aku diperiksa hampir setiap masa.

Aku tak kisah sebenarnya tapi mereka, lebih-lebih lagi mamat Taiwan, seakan berat sebelah. Dengan aku, hampir semua zucchini tidak diterima, digelar sebagai rubbish dan perlu dibuang dari bucket. Tapi bila minah-minah Taiwan atau Jepun, semuanya boleh dikompromi.

Bukannya aku tak tahu sebab row aku dan minah-minah tu bukanlah jauh. Sebelah saja. Mana tak naik berang aku. Kalau kau nak cerewet, cerewet dan songeh pada semua tanpa memilih bangsa atau jantina. Berkompromi sehabis baik dengan minah-minah tu dalam bab ladang, bukan pickupline yang bagus bruv! Lagi-lagi bab zucchini.

Tak sweet langsung. Dan sudahnya aku maki mamat Taiwan yang baru dinaikkan pangkat menjadi supervisor tu. Berderet makian dan cemuhan termasuk dalam bahasa Melayu. Waktu itu aku dah tak peduli dia faham atau tidak.

 

Bagi Yus pula, kes dia terjadi di ladang cherry tomato. Seperti biasa, selesai satu bucket yang penuh, tag akan diletakkan dan dibawa ke hujung row sebelum ditinggalkan untuk dikutip supervisor naik ke atas truck atau lori. Dan Yus perasan ada beberapa daripada tagnya dibuang ke tanah. Maknanya apa?

Maknanya ada orang yang menggantikan tag Yus dengan tag dia. Cara mudah untuk mengumpul jumlah bucket yang banyak tanpa bekerja keras. Satu perkara yang sangat tak wajar sebab kudrat dan masa untuk dapatkan satu bucket penuh itu bukan sikit. Dan lebih memedihkan, kebarangkalian besar individu yang melakukan perkara itu adalah si C. Bukan serkap jarang, tapi setelah beberapa perkara, faktor dan kebarangkalian dipertimbangkan.

Hukum dunia manusia. Mereka yang tetapkan dan mereka jugalah yang sanggah.

Dan hal di sharehouse pula, seorang mamat Taiwan ni seakan tak berpuas hati dengan kami. Semua perkara tidak betul hinggakan selepas pulang dari ladang, tidak dibenarkan masuk melalui pintu hadapan sebaliknya perlu dari pintu belakang. Alasannya, nanti kotor.

Dan benda remeh ini dipanjangkan ke housemate lain dari Itali. Si minah Itali tu turut menghentam Yus dan aku padahal sebelum ini, aku lihat, ada saja housemate lain yang masuk melalui pintu hadapan dengan selut dan debu penuh di seluar. Diskriminasi bukan? Nak saja aku katakan pada minah Itali tu, takkan aku perlu jadi seperti dia, selepas pulang, tanggal baju dan seluar dan hanya berbikini masuk ke rumah.

Kemudian berlegar-legar di dalam rumah dan memasak dan makan dengan hanya berbikini. Sampai perlu aku buat seperti itu? Segala macam bulu boleh terbang masuk ke dalam makanan, dan kemudian dijamah. Tambah perisa. Begitu?

Kadang yang disangka bertamadun tinggi itu sebenarnya jauh ke belakang.

***

Amacam? Ni baru je sikit pasal Goji Bundy karya Riduan A. Dullah. Karya ni adalah kisah benar seorang penulis yang jauh membawa diri ke Australi. Siapa kata kerja di ladang di negara Australia membawa hasil lumayan? Mungkin juga ya… tapi selebihnya lebih kepada penipuan dan menindas pekerja-pekerja yang lain.

Baru kau tahu betapa peritnya jadi pekerja ladang yang ditindas. Banyak lagi kisah-kisah yang duka diceritakan dalam Goji Bundy. Hampir kena tangkap polis pun ada! Jom dapatkan senaskhah Goji Bundy hari ini dengan harga promo RM22.95, harga asal RM27.

BUKU BERKAITAN