Kelas Berbau Najis


Mesti korang ada pengalaman zaman sekolah dulu yang paling tidak dilupakan iaitu, berak dalam kelas. Haaa… naya weh kalau siapa terberak dalam kelas ni. Macam-macam alasan kenapa terrrrrberak dalam kelas. Salah satunya, takut dengan cikgu garang. Sanggup tahan tu. Begini ceritanya…

Aku mempunyai seorang kawan yang lebih besar daripada aku. Dia dalam darjah enam sementara aku darjah dua. Tapi darjah enam pada masa dulu begitu dewasa. Nampak macam sesuai jadi isteri orang.

Di sekolah aku terdapat seorang guru lelaki yang tersangat garang. Dia memang lebih garang daripada harimau atau manamana kucing jantan di atas bumi. Kami budak-budak memang takut separuh mati kalau jumpa cikgu ini. Walaupun yang sebenarnya dia suka mengusik sahaja.

Kawan aku ini sudah darjah enam tapi masih takut dengan cikgu tersebut. Suatu hari dia terasa ingin buang air besar tetapi terlalu takut untuk minta izin ke tandas. Jadi dia telah membuang air besar yang sangat besar di dalam seluar di atas kerusi.

Bayangkan budak besar darjah enam punya najis. Seluruh kelas berbau najis. Cikgu menyuruh semua murid satu kelas berdiri. Semua bangun mencari bau tadi. Tentulah kawan aku saja yang tidak bangun. Sudahlah kedapatan siapa yang telah membuang air di dalam seluar. Heboh satu kelas dan riuh satu sekolah nama kawan aku itu.

Aku pasti dia mesti malu kalau diingat kembali kisah dia dulu. Kalau aku pula mesti aku terus berhenti sekolah. Yang pasti cikgu yang garang tadi kurang garang dah sejak peristiwa tersebut. Dengan mudah juga dia membenarkan murid-murid yang ingin ke tandas berbanding dengan sebelum itu.

Seorang murid yang aku masih ingat namanya Purvaneswary. Sewaktu aku bakal berpindah sekolah, dia menghadiahkan aku sebiji buah asam masin dan dibungkus dalam surat khabar yang begitu comot. Buah asam masin itu pun begitu lazat sekali. Kami tidak kenal pun perkataan polarisasi atau integrasi. Tidak ada pula rancangan kelas perpaduan atau apa.

Aku hampir menangis kawan-kawan Indiaku berkata “Jamilah, janganlah pindah.” Sambil berpeluk-pelukan. Emak pula selalu mengusikku dan berkata;

“Mak nampak, hang pun macam kawan-kawan hang, serupa ja.” Aku sengih sahaja. Sampai satu ketika aku pernah percaya bila emak beritahu aku anak India yang emak jumpa.

Pada zaman comot dulu perbezaan kulit itu tiada makna pun bagi aku. Cuma aku tak suka murid India kerana mereka banyak kutu atau berbau terlalu wangi, bunga atau bauan dari tempat sembahyang barang kali. Selain itu, perfect. A very good friend.

***

Aku rasa sekarang perbezaan kaum semakin jauh berjurang di negara kita. Padahal kat sekolah ada macam-macam program integrasi dan perpaduan. Televisyen ada macam-macam pemberitahuan dan iklan. Orang kata budak kecil macam kanvas. Kitalah yang mewarnakan depa. Habis tu siapa yang bagi warna salah ni? Takkan nak biaq saja benda begini berterusan dalam kehidupan kita?

****

Kisah ini ada dicatatkan dalam buku Travelog Biaq Pi Lah karya Dr. Hayya Bilal. Buku ini banyak kisah-kisah throwback yang bakal menggamit memori. Antaranya kisah misteri, kenduri kahwin, permainan zaman dulu-dulu dan pelbagai jenis hantu yang sinonim dengan masyarakat orang melayu sekitar tahun 1970-an. Setiap cerita akan diakhiri kisahnya dengan ungkapan dan kata-kata hikmah, lucu dan penuh pengajaran. Buku beliau yang pertama "Laki Aku Negro: Kau Peduli Apa" dan "Afrika Aku Mai Lagi" merupakan kisah hidup beliau semasa dewasa. Kedua-duanya mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pembaca.

 

 

BUKU BERKAITAN