Biawak HALAL untuk dimakan jika





Biawak ialah binatang yang haram dimakan oleh orang Islam kerana Rasulullah pernah memberitahu umat Islam tidak boleh memakan binatang yang berkuku tajam dan menyambar (helang), binatang dua alam seperti (biawak), darah dan bangkai. Walau bagaimanapun di negeri padang pasir, biawak pasir atau dhab dimakan kerana binatang ini hidup hanya satu alam (walaupun rasulullah tidak makan, beliau tidak menghalang jika ada yang makan).

Oleh kerana rumah aku hampir dengan sungai banyaklah biawak basah yang berkeliaran di sekitar kawasan rumah dan di tepi-tepi sungai. Biawak ini berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam reban ayam untuk memakan telur ayam, anak ayam dan ternakan lain. Pada hujung minggu biasanya kawasan kampung kami akan dikunjungi oleh orang India untuk menangkap biawak. Katanya biawak ini untuk dimakan. Mereka biasanya datang dalam berkumpulan empat atau lima orang bersama dengan anjing. Aku dan abang juga turut serta membantu mereka mengejar biawak. Biawak yang dikepung akan ditangkap dengan menggunakan jaring. Dalam keadaan terdesak biawak ini akan mengeluarkan bunyi mendengus marah dan bersiap sedia untuk berlawan. Biasanya anjing yang akan sampai dulu baru diikuti dengan tuan anjing dan beberapa orang lelaki yang membawa jaring. Kami susup-sasap di bawah pokok-pokok di tepi sungai membantu mengepung biawak. Terasa satu kepuasan bila dapat menangkap biawak. Bila biawak ditangkap dan sudah kaku dalam jaring, lelaki tadi akan memikul di atas bahu mereka. Kami kagum macam nak mati melihat biawak yang begitu besar diletak di atas bahu. Mereka pulang dengan bangga membawa makanan mungkin untuk bekalan satu minggu.

Selain itu, kadang-kadang aku melihat seorang lelaki berbangsa Cina masuk ke kampung kami membawa senapang. Beliau ini mencari tupai. Kami masih budak-budak ketika itu, akan membantu beliau mencari tupai di atas pokok. Sambil menunjukkan ke pokok mana tupai sedang berada.

Biasanya di atas pokok kelapa yang banyak dalam kawasan kampung Beliau akan berlari-lari bersama-sama anjing. Kami pun menyibuk juga. Dia menghalakan senapang dan menembak. Pong!! Satu tembakan kena pada tupai. Dari jauh boleh nampak tupai jatuh dari atas ke bawah. Anjingnya akan berlari-lari ke arah tupai, menggigit dan membawanya kepada si tuannya. Kadang-kadang dapatlah lima atau enam ekor. Ada juga rasa kasihan kepada tupai yang begitu comel dan ekornya yang kembang, kena tembak.

 

“Apek apa bikin ini tupai,” tanya emak.

 

“Makanlah. Nanti makan jadi tupai. Boleh lompat sana lompat sini. Lali sana lali sini. Lu tengok tupai manyak cergas. Lu sakit badan ka, lenguh-lenguh ka, makan tupai lah.”

“Kalau sakit hati?” usik emak.

“Sakit hati pegi bunuh dili,” jawab apek.

Mak terus ketawa berdekah mendengar jawapan apek.

Makan tupai boleh jadi cergas ke? Penipu apek tu. Kenapa aku makan kacang panjang tak jadi kurus. Makan roti canai tak pula jadi leper. Kan... kan?


Kisah ini ada dicatatkan dalam buku Travelog Biaq Pi Lah karya Dr. Hayya Bilal. Buku ini banyak kisah-kisah throwback yang bakal menggamit memori. Antaranya kisah misteri, kenduri kahwin, permainan zaman dulu-dulu dan pelbagai jenis hantu yang sinonim dengan masyarakat orang melayu sekitar tahun 1970-an. Setiap cerita akan diakhiri kisahnya dengan ungkapan dan kata-kata hikmah, lucu dan penuh pengajaran. Buku beliau yang pertama "Laki Aku Negro: Kau Peduli Apa" dan "Afrika Aku Mai Lagi" merupakan kisah hidup beliau semasa dewasa. Kedua-duanya mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pembaca.

BUKU BERKAITAN