Dinasour, Ciptaan Tuhan Yang Sia-Sia?


Lepas ke KidZania semalam, kami bawa pula anak-anak ke Pusat Sains Negara, ada pameran Dinasour di sana.

Sebelum tu aku nak cerita, memang anak-anak kita adalah sangat kaya dengan daya imiginasi yang tinggi.

Kadang-kadang, soalan mereka berada jauh di luar kotak pemikiran.

Sebagai contoh: Anak anda mungkin akan bertanya: “Ayah, apa akan jadi jika patung mainan mereka hidup waktu orang tak ada, dan pura pura tak bergerak bila ada manusia?”

Soalan ni tak perlukan jawapan yang logik, kerana mereka tanya dalam bentuk ‘jika’, maka nak jawab juga perlukan pada daya imiginasi yang tinggi. Biasa ibu bapa akan jawab dengan malas:

“Mainan mana boleh bergerak? Dah pergi tidur! Jangan tanya soalan yang bukan-bukan.”

Kasihan si anak, nak ajak berborak dengan orang tua, Tapi apakan daya, ibu bapa sangat perasan sibuk dan tak sempat nak layan karenah anak-anak.

Jika aku tak ada jawapan dengan soalan anak yang punyai imiginasi yang tinggi, aku akan ‘hold’ soalan mereka dengan bagitahu:

“Ayah rasa tentu mainan yang bergerak tidak akan menggangu kita, sebab jika kita masuk bilik balik, mereka akan kembali ke tempat asal. Tapi nanti, jika ayah ada jumpa cerita dalam buku kisah mainan yang bergerak, ayah akan bacakan pada kamu.”

Tapi perbualan di atas tak berlaku, sebab sebelum aku kahwin lagi, geng animasi Pixar telah ‘menjawab’ soalan ini dalam filem Toy Story yang mengisahkan dilema permainan lama (Sheriff Woody, mainan Coyboy) diabaikan oleh tuannya selepas mendapat mainan baru pahlawan angkasa, (Buzz Lightyear, A Space Ranger)

Toy Story (1995) yang aku tonton sewaktu habis SPM dengan kawan-kawan Asrama, merupakan ‘The first feature-length computer-animated film’ mendapat 100% markah dari Rotten (Penilai Filem Prosfesional). Kemudian, pada tahun 2010, 15 tahun kemudian, Toy story 3 pula aku tonton dengan anak-anak.

Jawapan pihak animasi Pixar adalah dalam bentuk filem fiksyen semata-mata, (inilah yang anak mahu) dan tujuannya untuk hiburan dan sedikit elemen kekeluargaan dan beberapa nilai murni yang baik.

Kembali kepada cerita hari ini, mungkin di lain waktu, anak anda akan bertanya soalan lain:

“Ayah, apa akan terjadi sekiranya bayangan hantu yang muncul bawah katil dan belakang almari itu benar-benar wujud?”

Sekali lagi, geng animasi Pixar menjawab soalan ini dalam filem Monsters, Inc. 2001 yang mengisahkan sebenarnya makhluk jin ini bertugas untuk mendapatkan jeritan kanak-kanak yang takut sebagai sumber tenaga elektrik mereka, dah tentu jawapan pihak animasi adalah dalam bentuk filem fiksyen semata-mata, dan tujuannya untuk hiburan kekeluargaan dan beberapa nilai murni yang baik. Sebab tu dalam filem Monsters, Inc digambarkan jin ini sangat takut bersentuh dengan manusia, malahan hanya mampu menakutkan manusia dari jauh, sekali ada budak perempuan masuk ke alam mereka, huru-hara dunia jin dibuatnya, ha ha!

Lupakan Monsters, Inc. sebab di lain waktu, si anak mungkin akan bertanya soalan sebegini: “Hari-hari tengok ayah dan bonda buang sampah, apa akan jadi di masa hadapan apabila dunia ini penuh dengan sampah?”

Maka geng Pixar yang pernah dimiliki oleh Steve Jobs ini menjawab persoalan dengan filem sains fiksyen Wall E yang mengisahkan manusia telah berpindah ke kapal angkasa dan bumi ditinggalkan oleh sebuah robot pengurus sampah. Manusia di zaman itu semuanya gemuk dan tidak mampu berjalan kerana 24 jam hidup depan computer dan hanya online sesame mereka. Dramatik sunnguh!

Abaikan Robot Wall E (pengurus sampah) yang bercinta dengan robot Eva (penjejak hidupan semula jadi).

Kerana cerita terkini, anak aku ada bertanya:

“Apa akan jadi jika tahi bintang yang besar tidak pernah jatuh menimpa bumi?”

Aku jawablah: “Mungkin dinasour tidak akan pupus dan ada Jurassic Park macam zoo Negara”

Rupanya ketika buku ini di tulis, soalan ini sudah lama ditanya oleh anak-anak dari Barat, sehingga geng animasi Pixar keluarkan filem fiksyen terbaru mereka, The Good Dinasour. Kisah berkenaan:

“Apa akan jadi jika tahi bintang yang besar tidak pernah jatuh menimpa bumi.” Seperti biasa, jawapan pihak animasi Pixar sudah tentu dalam bentuk fiksyen semata-mata, dan tujuannya untuk hiburan dan sedikit elemen kekeluargaan dan beberapa nilai murni yang baik dan mungkin mereka yakin dengan teori evolusi berkenaan manusia berasal dari beruk.

Maka watak manusia digambarkan sedikit macam beruk tapi menyalak macam serigala, tidak boleh bercakap dan baru nak ada akal. Manakala teori evolusi dinasour pulak yang hidup berjuta-juta tahun digambarkan mempunyai akal seperti manusia dan bercakap sesama mereka.

Dalam filem itu, dinasour berleher panjang yang memakan sayur digambarkan pandai bercucuk tanam, manakala T-Rex yang suka makan daging digambarkan menternak kerbau sebagai sumber makanan. Manakala manusia pula mencuri hasil tanaman dari dinasour, adohai…

Tapi itulah, jika benar manusia berevolusi dari binatang, kenapa ikan paus yang dah lama hidup tidak ada akal seperti manusia? Kenapa belangkas yang dah wujud berjuta tahun tidak cerdik macam manusia? Dan kenapa manusia tiba-tiba tidak berbulu macam beruk? Dan kenapa bulu pada wanita dan lelaki tak sama sedangkan bulu pada beruk jantan betina adalah sama? Dan kenapa hanya manusia yang ada akal dalam seluruh kehidupan di dunia ini?

Ops, tak payah serius sangat, itu hanyalah filem animasi fiksyen, hanya hiburan ringan sekeluarga. Waktu menonton filem ini, anak aku menangis sewaktu dinasour hijau cerita pada manusia ayahnya mati. Tapi manusia cerita ibu bapanya semua mati, dan di akhir cerita, teresak-esak anak perempuan aku menangis waktu mereka terpaksa berpisah.

“Tapi ayah, ada kawan kat sekolah cakap, dinasour tak wujud, semua itu adalah konspirasi yahudi untuk lupakan umat Islam kepada Nabi Adam! Jika benar dinasour wujud, kenapa Nabi adam tak jumpa dinasour?”

Tanya anak yang darjah 4, aku jawab elok-elok:

“Dinasour ni wujud sebelum Nabi adam datang, bukti dinasour wujud adalah pada tulang yang ahli kaji jumpa.”

“Tapi kan ayah, jika dinasour pupus sebelum Nabi adam, apa guna ALLAH cipta dinasour? Sebab tak ada tujuan? Bukankan ciptaan ALLAH tak sia sia?”

Tanya anak darjah enam pulak, jawab aku:

“Ada banyak teori tentang kejadian alam. Ada sebahagian teori kecil yang mengatakan minyak yang ayah isi dalam kereta hari ini adalah terhasil daripada ribuan makhluk zaman dahulu termasuk dinasour, jadi tak sia-sia pun ciptaan ALLAH ini.”

Anak angguk-angguk setuju. Aku sambung lagi hujah: “Sebab tu dalam filem animasi Pixar, jika mereka pergi stesen minyak, logo stesen minyak adalah dinasour dan nama stesen minyak adalah Dinaco!”

Anggukkan anak semakin laju. Now you know.

Ps: Agak mencabar menjadi ayah di akhir zaman ini, hu hu hu... 

Note: Dinoco is an oil company or gas station that has been seen in Toy Story and Pixars Film. In Toy Story, the logo is an Apatosaurus. In Others Pixar Film, the logo is a Tyrannosaurus Rex.

Banyak lagi kisah-kisah menarik hasil buah tangan Hamka Kereta Mayat di dalam buku Kisah Anak Bini. Banyak pertanyaan anak yang di luar jangkaan kita. Kadang-kadang soalan pelik, silap haribulan salah jawab… naya beb! Sebelum ini buku beliau Kisah Laki Bini pernah viral dan merupakan naskhah Bestseller dan terjual hampir 10 000 unit.

 

BUKU BERKAITAN