Aku Bukan Penyembah Syaitan!





Bila bercakap tentang genre muzik seperti Punk, Hardcore, Metalcore dan lain-lain core ini, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan budak mata celak, budak minum darah kambing, budak sembah syaitan, budak ambil dadah, budak kuat main dan budak kaki minum. Biasalah, orang kita memang suka pukul rata tetapi biarlah. Yang pasti aku tahu aku berbeza. Kami tahu kami berbeza.

Selera muzik kami mungkin keras, nama pun Hardcore. Biarpun nampak ganas dan brutal tetapi banyak benda yang kami sampaikan sebenarnya membawa mesej positif. Ada masa kami lontarkan pendapat tentang perjuangan, ada ketikanya berkenaan Palestin, anti dadah dan macam-macam lagi.

Begitu juga dengan budak-budak mosh dan two steps yang menari sampai berpeluh-peluh, pastinya lebih sihat daripada melepak di rumah atau sibuk ‘projek’ dengan awek. Bayangkanlah kalau bersenamrobik menggunakan lagu rentak drum laju bersulam gitar distortation. Konsepnya tidak banyak beza dengan zumba, lebih kurang sahaja cuma pakaian kami tak ketat dan majoriti adalah lelaki!

Segar dalam ingatan aku pada tahun 2004, kasihan pada budak-budak yang ditangkap di Penvia Studio sebab join gig kecil-kecilan. Masyarakat kerap kali salah anggap dengan kami dalam scene ini. Kami umpama kambing hitam yang dituduh menyembah syaitan dan menghisap dadah. Lebih teruk tuduhan mereka seakan berasas apabila ada budak kantoi dadah dan mabuk ketika serbuan dibuat. Hakikatnya, kami tidak begitu. Aku tak dapat membantu sekiranya ada yang ditangkap di gig.

Selepas detik hitam itu, banyak gig diserbu polis dan terpaksa ditutup. Ramai kena tangkap. Sesiapa yang pakai baju hitam dan berlogo tengkorak pasti tak bernasib baik. Mereka tuduh kami Black Metal. Di saat itu, aku rasakan Straight Edge semakin hilang. Kadang-kadang terasa macam trend pula. Lebih malang aku seperti tidak mampu berbuat apa-apa. Tiada lagi gig dan aku hampir putus asa.

Bagi aku, anak-anak scene yang rebel dah tersalah baca tentang Hardcore Punk sebenar. Paling menyedihkan, mungkin mereka tak pernah langsung membaca zine dan buku berkenaan politik yang radikal. Dulu, kerana sifat ingin tahu yang meluap-luap, kami sanggup order zine-zine radikal dari luar negara seperti International Sxe Bulletin, Maximum R&R, Heart Attack dan Slug and Lettuce. Rasanya zaman sekarang lagi senang, zine-zine ini dah boleh dibaca di internet. Bahan bacaan sebeginilah yang perlu dibaca kalau hendak memenuhkan ilmu di dada tentang scene sebenar.

Hardcore Punk adalah untuk merubah, menolak kapitalis dan penjajahan global. Perjuangan ini bagi menjamin dunia yang lebih selamat dan tenang untuk didiami. Luangkan sedikit masa untuk membaca buku-buku yang aku kira sangat penting seperti Art of Deception, Deadly Mist dan Trust No One. Paling tidak tontonlah filem Kill the Messenger yang akan membuka perspektif lebih luas tentang anak scene Hardcore Punk.

-------------------------------------

Kita tidak boleh lagi berkompromi dengan syarikat dan konglomerat besar yang sebenarnya mahu menjahanamkan kehidupan kita. Entah apalah agenda terancang syarikat besar seperti Monsanto, Vivisection dan farmasi dadah seperti IG Farben. Itu belum lagi Philip Morris dan Guinness Anchor Berhad (GAB) yang dihalalkan penjualan produknya sekali gus memenuhkan kantung kerajaan seluruh dunia.

Dalam scene, aku lihat kita sendiri pun tidak boleh menolak ‘gula-gula’ yang ditaburkan dunia mainstream. Adakah kita tiada kekuatan untuk katakan tidak kepada agenda mereka? Atau kita hanya boleh katakan ya seperti lagu Bulls on Parade?

Aku sokong apa yang pernah dikatakan oleh seorang rakan, Mat Nor yang merupakan seorang Punk Rocker dari Kedah. Katanya scene di Malaysia adalah scene yang gagal. Punk kita makan di McDonald’s dan hanya satu peratus adalah vegetarian. Scene kita menghalalkan dadah dan stoner yang diketahui salah sama sekali.

Kita sepatutnya berfikiran kritikal dan berlainan tapi disebabkan ‘gula-gula’ yang disogokkan, kita sama sahaja dengan Goyim. Perlu aku tekankan, scene bukan semata-mata mosh dan two steps saja tetapi kebebasan menyuarakan pendapat melalui lagu. Itulah sebabnya, kita memilih berada dalam scene.

Aku selalu berpesan supaya anak-anak dan adik-adik dalam scene jangan ambil dadah supaya tiada sebab untuk ditangkap. Aku bukan sekadar bercakap kosong. Untuk membuktikan betapa serius aku terhadap perkara ini, aku mula terlibat dengan kempen-kempen yang dianjurkan. Biarlah, semua muak dengar aku berkempen di sana sini. Biarlah sampai muntah atau naik menyampah, aku tetap teruskan perjuangan aku.

Sekiranya masih dengan cara lama percayalah kita akan terus dikambing hitamkan dan scene ini akan pupus. Mereka di luar akan melakukan apa sahaja untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Aku mungkin takkan selama-lamanya berada dalam scene selepas ini, harap yang tinggal berpesan-pesanlah pada yang lain.

Sedutan kisah penuh ada di buku Aku Anak Punk yang ditulis oleh Khai Aziz (Ein Second Combat) kisah benar seorang ahli Punk.

 

BUKU BERKAITAN