Felda oh Felda

H | 09-07-2019

Saya sedih dan jijik dengan cerita-cerita kurang elok yang keluar di media berkenaan Felda. 

Kuasa Allah, setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya ditelanjang dan dibuka pekung sehingga malu seisi keluarga dan mereka yang terlibat. Hanya kerana kuasa dan sifat tamak ahli politik, inilah jadinya.

Segala pengalaman pahit getir saya sebagai anak peneroka selama ini jika dicerita satu persatu pasti ramai yang akan menangis. Hanya mereka yang berada di tempat kami ketika itu faham bagaimana peritnya bergelar peneroka. 

Apabila perkara sebegini berlaku, ia betul-betul mengecewakan. Sedih kerana pengorbanan kami seperti dikhianati.

Bagi saya, mereka umpama lintah darat yang menghisap darah-darah peneroka yang selama ini bersusah payah mencari rezeki untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan pada masa sama membangunkan negara. 

Kami meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan kepada mereka tapi begini pula jadinya. Segala harta negara yang diamanahkan telah disalah guna. Kami umpama ditipu di siang hari oleh manusia-manusia yang tak pernah cukup dengan apa yang sudah dimiliki. 

Umat Islam apakah jika solat lima waktu tidak pernah tinggal, mengerjakan haji dan umrah setiap tahun, memimpin masyarakat dan bersyarah di khalayak ramai tapi hidup bertopengkan syaitan? Adakah ini kegembiraan sebenar yang dicari?

Tunggulah masa di mana segala kebenaran akan terbongkar. Jika selamat di dunia, di akhirat kelak berdepanlah dengan Allah dan terbongkarlah kelakuan kita ketika hidup di dunia. 

CW: Ramai tak takut balasan akhirat.

BUKU BERKAITAN