Kilis, Bandar Mati Di Turki Yang Dihidupkan Semula Oleh Pelarian Syria


H | 08-07-2019


Kami menaiki pesawat dari Gaziantep ke Istanbul. Ada masa beberapa jam, dapatlah kami berjalan sekejap di sekitar bandar besar itu. Oleh kerana ianya bulan Ramadan, maka tak berapa nak teruja untuk melewati bandar itu dengan semangat.

Kami solat di Masjid Sulaiman, yang mana dikatakan antara masjid yang indah di situ. Di situ barulah kami dapat belajar yang rupanya orang Turki (Bangsa Turki) merupakan orang yang menjaga banyak tatasusila. 

Sebagai contoh, apabila berwuduk, kita semua perlu pastikan yang air yang ada di muka, tangan dan kaki di lap atau dikesat terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam ruang solat. Memang mereka akan bawa tisu siap-siap dan selesai berwuduk mereka akan kesat semua anggota wuduk dengan kering, barulah memakai stoking dan masuk ke dalam masjid.

Saya antara yang tidak berapa nak prihatin. Selesai berwuduk, saya terus berjalan masuk ke dalam ruang solat, akhirnya ditegur oleh orang di situ meminta saya keringkan dahulu sebelum solat. Kemudiannya saya tak pakai stoking. Memang sudah biasa solat tanpa stoking lalu kebanyakan orang di dalam masjid memandang kaki saya seolah-olah kaki saya ada masalah. Lalu saya pun keluar semula, ambil stoking dan pakai. 

Ada banyak benda yang kami semua boleh belajar tentang bangsa Turki. Mereka ini adalah bangsa asing yang bukannya sama dengan bangsa Arab. Walaupun berkulit putih, badan besar-besar, ada yang kacak dan lawa-lawa, namun mereka jauh berbeda. 

Bab negara, bab bangsa, mereka memang utamakan. Malah, kalian boleh lihat semangat patriotik dalam jiwa mereka itu sangat kuat kerana di mana-mana ada bendera Turki. Mana-mana sahaja.
 
Oleh sebab itu, jati diri tentang bangsa mereka sangat kuat. Kami duk ingat yang bendera-bendera itu dipasang oleh kerajaan. Apabila ditanya kepada rakan-rakan kami di sana, rupanya tidak. Ianya adalah inisiatif rakyat jelata sendiri yang mana, dinding kedai dilukis dengan bendera sebesar-besarnya. Ada masa kalian akan nampak dari jauh, ia adalah kerana dinding bangunan empat tingkat atau lima tingkat pun dilukis dengan bendera Turki.
Ia memang mengagumkan.

Oleh sebab itu saya fikir kenapa ramainya rakyat Syria berjaya masuk ke dalam Turki dan menjadi pelarian di situ ialah kerana bangsa Turki ini sendiri. Mereka tidak takutkan apa-apa. Mereka memberi peluang, membuka pintu kemanusiaan untuk memberi bantuan. Dan mereka juga tahu, yang tidak ada apa-apa anasir luar dapat mengganggu mereka. 

Kekaguman kami tidak berhenti di situ. Semasa menghantar bantuan di kem-kem sekitar sebuah bandar yang disebut Kilis, rupanya-rupanya bandar itu adalah sebuah kawasan yang sudah ditinggalkan oleh orang-orang Turki. Ia kerana semakin ramai orang berhijrah ke bandar lebih besar dan tidak lagi mahu ada di situ. 

Namun bangsa Turki yang membuka ruang kepada ramainya rakyat Syria untuk masuk ke Kilis dan menjadikan bandar itu sekarang sudah bernyawa seperti dulu kala. Kata mereka, Kilis kembali bersinar dan bercahaya. Semasa kami mahu pulang ke Kuala Lumpur, kami menjamah buah ceri yang sudah musim di sana. Ianya murah ya amat dan berkilo-kilo kami makan.

Penyudahnya, saya terkena serangan gastrik. Dan ianya benar-benar buat saya tak bermaya. Saya menaiki kapal terbang dengan perut yang sakit. Dan akhirnya mendapat layanan dari pramugari Turkish Airlines yang sangat baik.
Saya ditempatkan di kerusi yang berhampiran dengan tandas, kemudiannya diberi Gaviscon. Beliau bertanya kepada saya adakah saya ada ubat gastrik yang lain, saya beritahu ada. Lalu mereka sediakan secawan teh kosong supaya dapat hentikan cirit-birit, dan berikan saya juga sekeping roti. Bimbang gastrik saya berlarutan.

Sekejap-sekejap mereka akan datang dan bertanya khabar dan saya mengaguminya. Mereka ini juga adalah orang-orang Turki.
 
Di dalam naskhah Orhan Pamuk, Snow, banyak kali dinyatakan yang bangsa Turki ini merupakan bangsa yang lemah lembut, yang bijak melayan orang lain dan sangat peramah berbanding bangsa-bangsa arab di sekitar negaranya. Walau kisah itu banyaknya konflik dan keadilan, namun kasih sayang yang ditulis di dalam buku ini dapat saya alaminya sendiri. 

Sama juga dalam naskhah Turkey: A Short Story by Norman Stone, mereka menyatakan bangsa Turki ini adalah sebuah bangsa unik yang wajar dicontohi. Saya melihat tulisan ini sebagai sebuah kebanggaan. Yang mana wajar dicontohi dalam banyaknya aspek, terutama bab keluarga, bab menjiwai pelanggan, menghormati orang lain dan menyantuni agama itu sendiri. 

Jika di Malaysia, kita sudah terbiasa dengan mencontohi Jepun kerana disiplin dan kebaikan mereka mengikut peraturan. Namun jika kalian mahu melihat banyaknya hal bab-bab kebaikan membantu orang lain, kalian mungkin boleh cuba ke Turki. Kisah mereka di sini adalah di antara barat dan timur. Dua-duanya ada dengan banyaknya pro dan kontra.

Kebaikan dan keburukan mereka ini banyak kita boleh belajar dan bawanya balik. Lalu kita susun untuk diri kita sendiri mana yang sesuai untuk kita ikuti. Bayangkanlah, bangsa Arab yang tidak boleh berbahasa Turki, masuk ke dalam negara tersebut, dan mahu perlindungan, kalu diberi tanpa soal, rumah, makanan dan apa sahaja yang diperlukan, dihulur.

Dari seorang, hari ini sudah mencecah 4,000,000 pelarian Syria berada di dalam Turki. Dan ianya langsung tidak ada liputan di mana-mana yang mereka ini ditindas atau diburukkan oleh sesiapa. Benar, ada yang kurang. Bab makanan, bab itu ini pasti ada.

Bayangkan jutaan pelarian yang perlu dibantu, pasti ada cacat celanya, oleh sebab itu mereka membuka pintu kepada NGO-NGO antarabangsa di luar sana untuk sama-sama masuk dan memberi bantuan kepada mereka ini.

Saya teringat pada Disember 2004. Selepas Aceh dibadai Tsunami yang meragut lebih 200,000 nyawa, negara yang paling awal sampai di sini ialah Turki. Mereka bukan sahaja datang dengan tangan kosong, mereka bawa jentolak, mesin-mesin besar untuk menolak lumpur yang bermeter dalamnya, lalu mereka juga yang membaiki masjid, menaikkan kembali rumah-rumah dan membantu perkampungan demi perkampungan untuk kembali hidup seperti hari ini.

Sekiranya kalian ke sana, kalian akan lihat sentuhan Turki di bandar itu. Dan itulah Turki. Memberi bantuan tanpa pernah ada publisiti, populis atau iklan di mana-mana. Janji bantu, janji berbuat baik. Kami belajar banyak perkara. Ada hal yang perlu kami muat naik, ada yang tidak, dan kami percaya, setiap kebaikan itu datang dari hati kita semua. Kita putuskan mahu buat apa dengan segala jalan yang ada terbentang di hadapan mata.

Semoga perjalanan balik ini akan membawa kami semula ke Gaziantep, Kilis dan Sanliurfa. Yang mana ianya membawa seribu kenangan tentang menghantar bantuan dan kisah suka duka di sini. Ia menjadikan kami semua manusia yang mengerti ada ujian yang wajar diterima, ada ujian yang layak diterima, dan ada orang atau manusia itu sahaja yang sesuai untuk menerima ujian sebegitu rupa. 

Saya percaya, Allah uji Syria, kerana ianya Syria. Berbagai-bagai lagi sejarah untuk umat manusia.

------------------

Suka kisah ini? Petikan ini diambil daripada kisah penulis buku Ya Tuhan, Ini Amat Menyakitkan dalam pengembaraannya berbakti kepada pelarian Syria di negara mereka dan Turki. Ketahui lagi banyak kisah menarik yang pasti akan meruntun jiwa pembaca.