Baca Ini Jika Kena Rotan


H | 27-06-2019


Apa? Bonda rotan kerana korang buat kesalahan kecil? Sebelum korang salahkan bonda, ayah nak tanya;

Pernah bela kucingkan, jika kucing berak kita marah tak? Ada tak rasa nak denda kucing tu? Ayah pernah nampak korang lepaskan rasa marah pada kucing yang kencing dalam bilik tidur dengan menyepak kucing itu. Nasib baik ayah ada. Kalau tidak, dah mati kucing tu korang kerjakan, adohai.

Okey… Berbalik kepada masalah korang; Bonda marah saya. Saya benci bonda! Saya mesti hukum bonda. Saya ada tiga plan untuk memalukan Bonda.

Plan A: Saya akan malas belajar agar bonda malu dapat anak bodoh. Saya sanggup dibuang sekolah kerana malas dan sanggup kerja sebagai kuli, jadi pelarian dan gelendangan. Tak kisahlah jadi apa asalkan bonda mendapat malu kerana gagal mendidik anak.

Plan B: Saya jadi jahat agar bonda malu dapat anak jahat. Saya akan mencuri, hisap rokok dan dadah malah saya juga akan mencabul anak orang. Akhirnya hidup saya merana dan masuk penjara. Tak kisahlah, asalkan bonda mendapat malu kerana gagal mendidik anak.

Plan C: Saya bunuh diri agar bonda malu mendapat anak kurang berpendidikan agama. 

Hmmm… malas belajar, jadi jahat dan bunuh diri. Semuanya membuka jalan ke neraka wahai anak. Jangan sedihkan ayahn dalam kubur ini. 

Bila bonda marah, jangan ambil hati. Jangan hukum keluarga kita dengan merosakkan diri dann berdendam yang tidak akan membawa kita ke syurga. Maafkan orang lain untuk kebaikan diri kita. Perasaan marah akan bawa kepada kerosakan, orang beriman bersifat menelan kemarahan. Pergi bisikkan pada bonda;

“Saya hanya ada seorang bonda, itupun saya lukai. Maafkan saya bonda.”

Atau;

“Saya tak ada masa untuk membenci orang yang membenci saya kerana terlalu sibuk cintakan orang yang cintakan saya.” Chewah!

Ayah percaya, anak ayah tidak akan malas belajar, jadi jahat dan bunuh diri sekali gus membuat keluarga kita menderita sebab anak ayah bijak-bijak belaka. Oleh sebab anak ayah bijak, ayah nak ceritakan satu rahsia kebijaksanaan. 

Korang tahu tak? Di negara barat, mereka ada nasihat dalam drama yang dikenali sebagai Chekhov’s Gun.

“Remove everything that has no relevance to the story. If you say in the first chapter that there is a rifle hanging on the wall, in the second or third chapter it absolutely mustgo off. If it’s not going to be fired, it shouldn’t be hanging there.” (Anton Chekhov)

Atau dalam Bahasa Melayunya, penulis berbangsa Russia itu menasihatkan dalam seni penulisan cerita: Jika diawal penceritaan ada babak selaras senapang yang terhias pada dinding, pastikan senapang itu digunakan sebelum tamat cerita.

Sebab tu dalam filem Ibu Mertuaku, P. Ramlee menghias dinding bilik menggunakan sudu dan garfu, get it? 

Jadi korang perasan, ayah dan bonda tak menghias rumah dengan menggantung objek sampah tidak berfaedah yang tidak akan digunakan langsung sampai mati. Tapi ayah gantung Lukman Cane.

Menggantung rotan Lukman ini dapat pahala kerana ada hadis tentang kata-kata Lukman al-Hakim yang berbunyi:

“Anak perlu dipukul seperti kebun yang perlu diairi.”

Tapi hanya dengan pukulan kasih sayang kerana anak ibarat kain putih, jangan tersilap conteng. Bila besar, andai ibu bapa berkulit putih, mereka akan menconteng arang ke muka mereka dan andai korang berkulit hitam, mereka akan menconteng muka ibu bapa dengan kapur. Woha!

Hadis lain, nabi pun menyuruh ibu bapa merotan anak umur sepuluh tahun yang tidak bersolat. Bercerita bab perlu atau tidak hukuman rotan, kita kena adil. Jadi elok rasanya ditanya terus kepada mangsa rotan. Setuju?

Jadi cuba korang tanya budak yang pernah kena rotan, setuju tak hukuman rotan ditiadakan tetapi sebelum bertanya soalan itu pastikan budak yang pernah dirotan sudah dewasa, berkahwin dan mempunyai anak.

Pasti dengan laju, budak yang pernah dirotan itu menjawab:

“Tiada rotan, hanger pun jadi.”

Woha!

P.S: Bersyukurlah korang pernah dirotan. Dalam filem ‘Anakku Sazali’, P.Ramlee menyesal tidak dirotan sejak kecil kerana jika ayahnya merotan sewaktu kecil, pasti bila dewasa dia tidak akan menjadi ketua gengster di Singapura. Sebaliknya menjadi Ketua Madrasah di sekolah tahfiz.

***

Petikan ini terdapat di dalam naskhah Ngeteh Di Kubur karya Hamka Kereta Mayat. Banyak bab-bab menarik untuk dikongsi bersama dan dijadikan pedoman buat pembaca yang disayangi. Hamka juga seperti ayah-ayah kita yang sentiasa memberi nasihat dan membawa kita menuju jalan ke syurga.

Moga-moga nasihat ayah Hamka akan dijadikan iktibar dalam hidup kita. Woha!

BUKU BERKAITAN