Baca Ini Sebelum Ajal


Hamka Kereta Mayat | 20-03-2019


Surat second last, semoga masih sempat dibaca. Dengar cerita korang dah nazak sekarang. Mengucap nak, inilah hidup. Datang dengan susah payah bonda dan pergi dengan susah payah diri sendiri.


Doa dan harapan ayah, semoga kematian korang menjadi kematian yang dicemburui oleh orang beriman.
Eh? Apa itu kematian yang dicemburui?


Jika korang mati hari ini, ramailah anak cucu serta saudara-mara yang bersimpati. Mereka datang menziarah dan kemudiannya mengiringi mayat korang ke kubur. Dalam hati mereka terdetik juga keinginan untuk tidak mahu menerima nasib seperti korang namun semua orang akan tetap menjadi mayat. Hanya lambat atau cepat sahaja. Dalam negara yang aman merdeka, apabila mati mayat kita akan diurus dengan baik.

 

Saudara-mara dan kawan-kawan boleh melawat dan berdoa. Maka itulah salah satu nikmat kematian. Lalu kenapa kamu takut mati wahai anak? Kenapa bersedih jika mati sekarang? Ini negara merdeka, kematianmu akan diurus dengan bermaruah. Sama seperti korang menguruskan mayat ayah dahulu. Namun mati merdeka belum menjamin merdeka dalam kubur. Ada perkara lain yang kita semua kena faham tentang merdeka.


Terdapat beberapa kisah sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang mati dalam peperangan yang mana nabi telah menguruskan jenazah mereka sehingga sahabat-sahabat lain yang masih hidup cemburu dengan kematian mereka.

 

Nabi sudah menjamin syurga sewaktu mayat belum masuk ke tanah lagi!


Tak perlu ayah tulis semua cerita itu. Apa yang kita kena faham adalah apabila seorang yang beriman dan bertakwa seperti Saidina Abu Bakar R.A atau Saidina Umar R.A cemburu pada mayat orang lain yang nabi telah janjikan syurga kepada mereka, maka itulah hakikat merdeka yang sebenar-benarnya!

Ayah ulang!


Apabila kematian kita dicemburui oleh orang beriman, maka sesungguhnya kita telah merdeka!


Fahamilah bahawa sama ada mayat kita ditanam atau tidak, atau mati berulat, Allah tidak menilai melalui cara kita menjadi mayat tetapi Allah menilai melalui kehidupan sebelum kita menjadi mayat.


Ketahuilah, negara yang aman adalah satu nikmat yang besar. Kita bebas merdeka untuk beribadat tanpa sebarang masalah, ke masjid untuk solat lima waktu, melaungkan azan dengan lantang, beriktikaf di masjid dan berdakwah secara terang-terangan. Alangkah ruginya ketika masih diberi peluang untuk membuat semua ini tetapi kita tidak mengambil bahagian. Kita terlalu asyik menonton TV sehingga tertinggal solat jemaah, tidak mempedulikan azan dan menghalau pendakwah yang datang mengetuk pintu rumah.


Anak-anakku sekalian, kejayaan hakiki bukan diukur apabila korang dapat hidup dalam negara merdeka. Sebaliknya, kejayaan sebenar adalah apabila korang dapat mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan, sama ada dalam negara merdeka atau negara perperangan.

Orang Palestin yang mati dibunuh Israel ketika sedang solat berjemaah dalam negara yang berperang adalah jauh lebih baik daripada orang Malaysia yang mati ketika menonton cerita perang sampai terlupa solat berjemaah. Adohai… Berapa kerat antara kita yang sanggup solat berjemaah di masjid lima waktu? Tidak sedihkah kita lihat betapa payahnya rakyat Palestin berusaha untuk solat berjemaah walau pun dihalang tentera Israel kerana negara mereka belum merdeka.


Tidakkah kita terfikir, apa ertinya Allah memberikan kita peluang mengecap kemerdekaan? Apakah ertinya Merdeka? Adakah kita akan ke masjid apabila pengganas negera lain datang menyerang? Sesungguhnya Allah boleh menarik nikmat merdeka ini pada bila-bila masa. Sesiapa yang bersyukur akan ditambah nikmat manakala yang kufur tunggulah azab Allah yang amat pedih.


Sekian. Jangan takut mati, relaks… Selamat bertemu malaikat maut. Selamat menjawab soalan malaikat kubur.


Merdeka sebenar adalah apabila kita diumum sebagai ahli syurga di Padang Mahsyar. Jumpa di sana wahai anak-anakku, Syurga Firdaus tingkat lapan.

Woha!


I miss you all. Tak sabar nak jumpa dan peluk korang.

 

---------------------------------------------------------------------------------

Petikan ini terdapat di dalam naskhah Ngeteh Di Kubur karya Hamka Kereta Mayat. Banyak bab-bab menarik untuk dikongsi bersama dan dijadikan pedoman buat pembaca yang disayangi. Hamka juga seperti ayah-ayah kita yang sentiasa memberi nasihat dan membawa kita menuju jalan ke syurga.

 

Moga-moga nasihat ayah Hamka akan dijadikan iktibar dalam hidup kita. Woha!

BUKU BERKAITAN