Fufu rahsia kekuatan wanita Afrika!


Makanan ruji yang sangat popular dan menjadi hidangan wajib bagi setiap isi rumah di Ghana ialah fufu. Fufu adalah adunan yang diperolehi daripada campuran ubi kayu dan plantain (pisang tanduk) yang direbus terlebih dahulu lalu ditumbuk (pound) menggunakan kayu panjang dalam bekas kayu dipanggil waduro. Untuk mendapatkan adunan kenyal seperti ini memerlukan pounding padu sekurang-kurangnya setengah jam ke satu jam.

Fufu adalah lambang kekuatan rakyat negara ini. Dari segi tekstur yang kenyal pun tahu ia bukan calang-calang makanan ruji. Untuk proses pounding biasanya dilakukan oleh kaum Adam yang gagah perkasa.Tapi kaum wanita di sana pun apa ada hal nak pound fufu, mereka pun boleh buat dengan tenaga yang sama.

Selain tukang pound yang kena berdiri, yang duduk di bawah pula perlu bertugas untuk membalik-balikkan dan memasukkan sedikit demi sedikit ubi kayu dan plaintan tadi. Terbaiknya, sambil membalik-balikkan adunan, tiada pula tangan itu terkena waduro tadi. Memang cekap mereka ini. Kadang-kadang nampak macam dah jadi sejenis tarian.

Bukan calang-calang orang boleh buat pounding ini. Kalau tak kena cara, pounding hanya sia-sia kerana fufu tak akan jadi kenyal seperti dikehendaki. Fufu dimakan bersama sup ikan salai (smoked fish) atau sup kambing dan boleh juga sup ayam. Ia sangat enak, tapi awas! Fufu juga buat kita cepat lapar semula. Ia boleh dijadikan sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam.

Selain pound, istilah ‘drive’ pula digunakan untuk menghasilkan makanan bernama banku. Banku ini samalah macam fufu, enak dimakan bersama sup. Cuma ia dibuat daripada jagung (jadi serbuk). Kena rebus air dulu, kemudian bila air mendidih, masukkan banku sedikit demi sedikit dan mula mengacau laju dengan menggunakan senduk panjang mengikut putaran jam. Kena kacau sambil duduk dan cara itu nampak macam tengah drive. Sebab itu istilahnya driving banku.

Banku juga sesuai dimakan bersama okra stew (stu bendi). Bendi dicarik-carik halus agar stu yang dihasilkan sedikit berlendir. Penyediaan banku lebih mudah berbanding fufu kerana ia hanya perlu dikacau, tidak perlu dipound sekuat tenaga. Tetapi proses drive fufu juga boleh tahan memenatkan kerana adunan perlu dikacau setiap masa dan terpaksa menahan panas api dapur lebih kurang selama 45 minit.

Sekarang nampak dan faham tak kenapa tangan wanita Afrika biasanya kuat, sasa dan tangan berketul-ketul?

Terima kasih kepada fufu dan banku!

 

Mavis (adik ipar) bersama seorang jiran lelaki sedang ‘pounding fufu’.

 

Begini caranya ‘driving banku’. Kaki sandal pada pemegang periuk dan mula ‘memandu’ menggunakan sudip panjang.

 

Aku pun naik malu juga sebab benda senang macam masak nasi guna periuk elektrik pun kadang kala malas nak buat. Kalau dah sampai kena pound dan drive, lagi susahlah gamaknya nak memasak.

Baru beberapa hari, aku sebenarnya dah mula rasa rindu dengan nasi lemak. Mujurlah ada waakye. Waakye adalah sarapan yang boleh tahan berat dari segi tekstur dan kalori.

Pada asasnya ia adalah nasi yang ditanak bersama kacang merah. Sambalnya pula dipanggil shitoh, diperbuat daripada ikan goreng yang kemudian ditumbuk bersama cili, garam, udang kering dan tomato sehingga lumat kemudian digoreng semula sehingga garing. Ia akan dibungkus bersama ikan atau daging goreng, telur rebus dan spageti. Kemudian baru dituang sedikit shitoh tadi.

Memang menjilat jari!

Waakye hanya disediakan oleh golongan Muslim di Ghana, biasanya dijual dalam pondok kecil tertulis fast food. Sikit-sikit adalah rasa nasi lemak tapi waakye lebih power dan pedas.

 

Tidak kurang enaknya untuk sarapan ialah ampesi dengan stu kotomere. Ampesi ialah pisang yang direbus, dimakan bersama stu sejenis sayur dipanggil kotomere. Kotomere rasanya lebih kurang seperti kangkung ataupun bayam. Bahan lain yang digunakan ialah telur. Biasanya stu kotomere turut dimasukkan ikan kecil seperti ikan bilis ataupun sardin. Ia dimasak menggunakan minyak kelapa sawit yang tidak ditapis (diperah segar daripada buah sawit).

 

Ampesi (pisang) bersama stu kotomere. Turut dimakan bersama telur rebus. Juga biasa dijadikan sarapan.

 

Rasanya? Sedap sampai susah nak aku bayangkan dengan kata-kata.

Sarapan di Ghana biasanya memang berat, sesuai dengan gaya hidup masyarakat sana yang memulakan hari mereka dengan kerja-kerja heavy duty seperti bertani, bertukang dan buruh di kawasan pembinaan. Tengahari mereka banyak makan junk food saja atau buah-buahan untuk alas perut. Sebelah lewat petang barulah makan berat semula.

Tapi kaum wanita pun tidak kurang hebat kerja keras yang perlu digalas. Mereka tidak suka duduk saja di rumah. Kebanyakannya part time menjadi peniaga junjung untuk kelangsungan hidup. Ia juga bukan satu tugas yang mudah. Kita akan faham mengapa kebanyakan mereka mempunyai struktur badan tegap dan mampu berjalan seperti seorang model. Ia hasil praktis setiap hari berjalan sejauh lima hingga 10 kilometer sehari dengan menjunjung barangan jualan. Menariknya, ramai kanak-kanak termasuk wanita sarat mengandung pun selamba je boleh buat kerja ni.

Mereka memang sangat kuat, mental dan fizikal.

Salute.

 

 

 

BUKU BERKAITAN