Perihal Wabak Covid-19 dan Tik Tok


H. | 13-04-2020


Dalam musim bencana Covid-19 yang membuatkan satu dunia berada dalam keresahan dan kebimbangan, seharusnya kita perbanyakkan lagi program-program yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat terutama program keagamaan dan ilmiah.

Namun lain yang jadinya apabila ada pihak yang sanggup untuk menganjurkan program berbentuk hiburan dengan alas an untuk menghilangkan rasa kebosanan masyarakat yang sedang menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP). 

Program yang dimaksudkan adalah program pertandingan 'tik-tok'. Ramai yang telah mengulas dan memberikan pandangan mereka mengenai isu ini. Antaranya Dr. Rozaimi Ramle yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 

Beliau mengatakan: "Isu pertandingan 'tik-tok' ini bukanlah isu pilihan siapa yang nak join dan tidak semata-mata. Tetapi bantahan netizen kepada isu ini bertumpu kepada 2 isu utama. 

"Pertama, adakah promosi ini sesuai untuk KPT yang menjaga pensyarah universiti dan mahasiswa yang sepatutnya dibudayakan dengan ilmu dan kesarjanaan? Mungkin jika kempen itu dilakukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan serangan netizen akan sedikit kendur.

"Kedua, saya menonton sendiri video kempen menteri bersama influencer yang mempromosi pertandingan Tiktok. Saya juga merasakan tidak kena gaya promosi begitu.

"Walaupun ada yang mengatakan TikTok ini hanyalah platform yang boleh jadi baik dan boleh jadi buruk mengikut penggunanya namun bagi mereka yang membantah TikTok beranggapan bahawa bukan semua pengguna media sosial mampu berdakwah dengan TikTok macam awak. Begitu juga, jika banyak keburukan pada TikTok itu, bagaimana mungkin kita mahu kawal anak muda daripada melihat perkara yang tidak baik? Bukankah lebih baik ia dijauhi daripada awal? Itu saja pertimbangannya. Apa-apa pun, jauhilah taksub politik. Nilailah kebaikan dan keburukan berdasarkan pertimbangan ilmu bukan kepartian.

Apa pula kata Mufti Wilayah berkenaan 'tok-tok' ini?

Hukum bermain TikTok

Pada dasarnya sebarang aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, WhatsApp, Instagram mahupun TikTok yang digunakan untuk perkara yang manfaat adalah dibolehkan. Hal ini bertepatan kaedah berikut:

الأصلفيالأشياءالإباحةحتىيدلالدليلعلىالتحريم

Maksudnya: "Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya"

Pengguna yang bertanggungjawab mengurus sebarang aplikasi sama ingin memandu kepada jalan yang bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan. Justeru, hukum harus boleh berubah kepada hukum lain tertakluk cara pengguna mengendalikannya.

Hal ini, situasi berbeza kadangkala boleh menatijahkan hukum yang beza berdasarkan kaedah umum yang menyebut:

الحكمعلىالشيئفرععنتصوره

Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara merupakan natijah daripada bagaimana gambaran sesuatu isu difahami. (Lihat: Syarh Mukhtasar Li al-Sullam al-Munauraq, 3/11)

Aplikasi TikTok boleh dikategorikan sebagai hiburan. Persoalannya, adakah bermain TikTok termasuk hiburan yang dibenarkan syarak ?  

Beberapa penetapan hukum dalam hiburan antaranya ialah:

Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Haram, sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak.

Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/521-522)

Merujuk kepada fungsi TikTok mahupun sebarang persamaan aplikasi tersebut yang merakam pelbagai gaya tarian mengikut genre muzik, maka ia hanya SIA-SIA dan tidak mendatang sebarang faedah dan kategori hiburan yang dihukumkan makruh.

Hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:

لَيْسَمِنَاللَّهْوِإِلاَّثَلاَثٌ‏:‏ تَأْدِيبُالرَّجُلِفَرَسَهُوَمُلاَعَبَتُهُأَهْلَهُوَرَمْيُهُبِقَوْسِهِوَنَبْلِهِ

Maksudnya: Tidak termasuk perkara yang hiburan sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur anak panahnya. (Riwayat Abi Daud)

Penutup

Walau apa-apa pun jua pandangan, program yang berunsurkan hiburan seperti tik-tok ini hanyalah perbuatan yang sia-sia dan tidak mendatang sebarang faedah. Adapun, kita dilarang memuat naik video tarian TikTok mahupun aksi mimik (Lyp Sinc) di media sosial. Larangan tersebut bertujuan menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i) selain boleh   menimbulkan ancaman fitnah bagi sesiapa yang melihatnya.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu memelihara diri daripada sebarang hiburan yang tidak mendatangkan faedah serta boleh menjatuhkan maruah individu sekaligus mengugat nilai-nilai akhlak seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT. Semoga kita terhindar daripada golongan tersebut, Sabda Rasulullah SAW :

لَيَكونَنَّمِنأُمَّتيأقْوامٌ،يَسْتَحِلُّونَالحِرَوالحَرِيرَ،والخَمْرَوالمَعازِفَ

Maksudnya : Sungguh akan ada sebagian dari umatku yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras, dan alat-alat musik. (Riwayat al-Bukhari)

Kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam beragama dan  menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.

Sumber: Karya Bestari