Kenali Manusia Paling Popular di Malaysia


H. | 06-04-2020


Beliau bukanlah penyanyi terkenal, beliau juga bukanlah bintang ternama, namun tiada siapa dapat menafikan beliau ialah antara manusia yang paling popular di Malaysia ketika ini.

Sejak lebih empat minggu lalu, wajah figura ini hampir saban hari menghiasi kaca televisyen, muka depan dada akhbar, malah meniti di bibir rakyat Malaysia.

Kemunculannya amat dinanti ramai, malah akaun media sosialnya diserbu ratusan ribu pengikut. Setakat semalam laman Facebooknya sahaja sudah memiliki lebih 375,122 orang pengikut.

Bagaimanapun, ternyata bukan populariti yang dicari oleh pemilik wajah yang tenang ini. Di atas bahunya kini terpikul beban, ibarat batu besar yang sangat berat.

Melawan musuh halimuman bernama Covid-19 beliau bagaikan ‘panglima’ di medan perang yang kini mengepalai ribuan doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan Malaysia.

Hari ini, ramai yang mula membuka mata dan memuji kecekalan beliau, siang malam bersama barisan hadapannya.

Walaupun dihambat penat, namun wajahnya tetap serius dan tenang. Setiap butir bicaranya tersusun, tanpa tinggi suara dan tanpa putus asa.

Ketika diberi kata-kata sanjungan sebagai wira negara, dalam kerendahan hati Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui, “Ini bukan tentang saya, tetapi apa yang kita boleh lakukan bersama-sama untuk memerangi Covid-19.”

Mungkin ramai yang tidak menyedari ketika ketiadaan menteri dan timbalan menteri sewaktu peralihan kuasa kerajaan baru-baru ini, Dr Noor Hisham tetap cekal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Pada saya, tak penting (gelaran wira negara) tetapi apa yang penting adalah perkhidmatan kita,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 pada 29 Mac lalu.

Berusia 57 tahun, Dr Noor Hisham sebenarnya seorang pakar bedah terlatih. Anak kelahiran Sepang, Selangor itu berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, laman web bekas pelajar Sekolah Menengah Methodist Kuala Lumpur (MBSKL) pernah membicarakan mengenai Dr Noor Hisham melalui sebuah entri pada tahun 2019.

Melalui perkongsian itu, Dr Noor Hisham digambarkan sebagai seorang yang sentiasa merendah diri sejak di bangku sekolah dan seorang yang aktif dalam sukan olahraga.

Zaman kecil

Kehidupan zaman kanak-kanak Dr Noor Hisham bukanlah semewah yang disangka dan mungkin kekuatannya hari ini terasuh sejak beliau kecil lagi.

Laman web bekas pelajar MBSKL itu memaklumkan bahawa beliau dibesarkan di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur iaitu Flat Loke Yew oleh seorang ibu tunggal.

Malah, ibunya hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci dan terpaksa berhempas pulas membesarkannya bersama seorang lagi kakaknya.

Ternyata gaya tenang Dr Noor Hisham bukan sahaja disenangi rakyat Malaysia, bahkan kumpulan wartawan yang bertemu mata dengannya dalam sidang media setiap hari.

Wartawan Sinar Harian Putrajaya, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan menggambarkan Dr Noor Hisham sebagai seorang pemimpin yang lembut tutur bicaranya.

Tuan Buqhairah turut mengakui Dr Noor Hisham tidak pernah sekali pun menunjukkan rasa bosan menjawab soalan yang diajukan para wartawan walaupun soalan itu mungkin mengulangi pertanyaan pada hari sebelumnya.

Keperibadian seperti itulah yang digemari pengamal media di Putrajaya dalam memastikan mereka mendapatkan maklumat yang tepat untuk disajikan kepada pembaca.

“Pada saya beliau sangat lembut dalam bicaranya. Jawapan beliau menggunakan bahasa yang mudah membuatkan wartawan dan orang ramai yang menyaksikan sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia secara langsung faham.

Sebelum bergelar Ketua Pengarah Kesihatan, beliau juga sebenarnya menjawat tugas penting dalam KKM antaranya Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya.

Beliau juga menjadi Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007, Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya (2004) dan Pakar Bedah Umum (1994).

Biarpun diberi gelaran wira, namun beliau sedikit pun tidak melupakan tenaga kerja bawahnya yang bertungkus lumus berjuang dan berkorban.

Setiap hari Dr Noor Hisham tidak pernah ketinggalan merakamkan penghargaan kepada semua kakitangannya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua doktor yang bekerja siang dan malam, menggalas tugas yang amat berat dan terus berkhidmat untuk negara.

“Sedarilah kita adalah benteng pertahanan terakhir untuk negara. Sesungguhnya kegagalan bukanlah satu pilihan,” katanya.

PROFIL

Nama: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Tarikh Lahir: 21 April 1963

Tempat Lahir: Sepang, Selangor

Pengalaman:

* Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Mac 2013

* Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bermula 29 Januari 2008

* Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya bermula 16 Ogos 2002

* Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin, Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur bermula 16 Januari 1998

* Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia 1997-1998

* Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia 1997

* Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu bermula 1 Julai 1994

* Master of Surgery Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur (1990-1994)

* Medical Officer Accident and Emergency Department, Hospital Kuala Lumpur bermula 2 Oktober 1989

* House Officer, Hospital Universiti Kuala Lumpur bermula 1 Ogos 1988

* Sumber: Portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel: Sinar Harian