kenching bukan novel acah-acah 'deep'!
Tarikh: 05 Julai 2017 hingga 01 Februari 2018

Bukan mudah untuk menulis sebuah novel, apatah lagi jika ada penulis yang sudah memiliki tujuh novel dalam masa yang singkat. Tapi, itulah yang berlaku kepada penulis muda, Azwar Kamaruzaman yang begitu terkenal dengan novel-novel kontroversi selain mengangkat tema yang jarang diketengahkan oleh penulis lain.

Selepas muncul dengan novel seram Aspura bersama Buku Pojok, Azwar sekali lagi meluangkan masa dan menulis novel terbarunya bersama kami berjudul, Kenching. Masih kekal dengan tajuk kontroversi yang mencetuskan persoalan di kalangan pembaca, Azwar juga dilihat tidak kekeringan idea malah semakin ligat berkarya.

Buat julung kalinya, kami berjaya mencuri masa bersama Azwar sambil menikmati bubble tea kegemarannya untuk bercerita lebih lanjut kisah menarik di sebalik Kenching. Jom ikuti perbualan santai kami.

Buku Pojok (BP): Apakah inspirasi di sebalik penghasilan novel Kenching?

Azwar Kamaruzaman (AK): Idea dan inspirasi di sebalik Kenching adalah berdasarkan kisah masyarakat sekeliling. Kali ini saya mengetengahkan aktiviti jualan telefon bimbit berteknologi tinggi secara online. Banyak kes yang berlaku, dek kerana teruja dijual pada harga murah ramai percaya dan terjebak dalam aktiviti ini hingga mengalami kerugian ribuan ringgit. Malah, saya juga menyentuh aktiviti multi level marketing (MLM) bagi menguatkan lagi jalan cerita.

BP: Sebagai penulis yang muncul dengan banyak novel-novel hebat, adakah Kenching setanding atau lebih baik berbanding karya terdahulu tulisan azwar?

AK: Saya tidak meletakkan indikator yang tinggi pada Kenching. Novel ini bukanlah novel 'deep' yang akan membuatkan pembaca berfikir. Sebaliknya apabila saya menulis Kenching, cukuplah jika saya mampu memberi peringatan kepada pembaca tentang perkara-perkara yang mungkin di pandang ringan tetapi mendatangkan impak besar jika tersalah membuat pilihan.

BP: Azwar pernah di'kenching'? Ceritakan sikit pengalaman anda.

AK: Alhamdulillah, setakat ni tak pernah lagi. Tapi saya selalu dikelilingi oleh orang-orang yang di'kenching'. Jadi, saya sangat berharap perkara ini tidak akan berlaku kepada saya.

BP: Apakah harapan azwar kepada pembaca apabila membaca Kenching?

AK: Saya harap apabila selesai membaca novel ini, mereka dapat sebarkan sesuatu yang positif sekali gus mengelakkan diri daripada terus di'kenching' dalam apa-apa juga perkara yang kita lakukan.

BP: Apa reaksi Azwar jika ada komen daripada pembaca yang mengatakan novel-novel terkini Azwar tidak sehebat novel terdahulu.

AK: Hahahahaha... Saya tidak tahu bagaimana mahu menilai kehebatan sesebuah novel itu. Tetapi bagi saya novel yang baik adalah novel yang mampu memberi kesan kepada pembaca. Jadi, sekiranya seseorang itu baca novel saya dan mereka seronok, sedih atau apa sahaja, itu sudah cukup memuaskan hati. Sebagai penulis, mungkin saya perlu keluar dari zon selesa demi menghasilkan karya lain dari yang lain.

BP: Kongsikan tip-tip kepada mereka yang ingin mengembangkan minat menulis pada usia muda.

AK: Baca dan tulis. Baca dan tulis. Baca dan tulis. Ulang proses ini sehingga anda berjaya. Selagi tak berjaya jangan berhenti. Kalau kena reject, perkara itu adalah normal kerana dari situ kita akan belajar untuk baiki teknik penulisan. Jangan cepat give up dan teruskan menulis.

Selain itu, dalam bidang penulisan kita perlu ada identiti sendiri. Kita boleh ada idola, tapi jangan jadi seperti idola kita. Sekiranya kita cuba menjadi seperti idola kita, orang tak akan kenal identiti kita. Maka, jadilah diri sendiri dalam bidang ini.

BP: Bagilah sikit ucapan untuk peminat setia Azwar.

AK: Kepada semua pembaca setia sejak novel pertama dahulu, teruslah memberi sokongan kepada novel ketujuh saya ini dan harapnya teruslah best seller! Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan novel ini terutamanya kepada Buku pojok yang sudi menerima manuskrip Kenching ini.