anekdot dot... dot... dot... karya merapu?
Tarikh: 18 April 2017 hingga 31 Disember 2017

Jika sebelum ini Budak Pojok ada bersoal jawab dengan penulis zine Mak, Aku Ada Saka!, kali ini giliran penulis zine Anekdot Dot... Dot... Dot..., Faizal Milan bercerita tentang karyanya.

Ada beberapa perkataan menarik yang diungkapkan Faizal mengenai tulisannya kali ini. Antaranya 'lain macam', 'merapu' dan imaginatif. Jika nak tahu apa yang dimaksudkan Faizal dengan perkataan-perkataan itu, jom baca sesi kopi-kopi Budak Pojok bersama Faizal Milan yang pemalu ni.

Budak Pojok (BP): Bagaimana anda mendapat idea untuk menulis Anekdot... Dot... Dot... Dot...?

Faizal Milan (FM): Idea tulis Anekdot Dot... Dot... Dot... ini saya dapat ilham daripada lambakan buku-buku yang serupa contohnya buku Romlah terbitan Sindiket Soljah dan Kayangan oleh Ruhayat-X.

BP: Kenapa memilih tajuk ini?

FM: Nama 'Anekdot' dipilih sebab saya tak nak guna perkataan 'cerpen' atau 'certot'. 'Dot Dot Dot' pula ditambah untuk timbulkan elemen curious kepada pembaca.

BP: Kisah yang dipaparkan ada antaranya terlalu imaginatif, apakah sebab utama anda memilih jalan cerita sebegini?

FM: Memang pemikiran saya agak imaginatif, selain nak menjadikan cerita-cerita dalam buku ini 'lain macam'.

BP: Antara koleksi cerita dalam zine ini, manakah yang menjadi kegemaran anda?

FM: Ada dua tiga cerita yang saya suka, salah satunya adalah 'Memahami Buah Fikiran Ustat Remmy' sebab ada unsur ilmiah walaupun merapu. Haha!

BP: Apa yang boleh diharapkan oleh pembaca menerusi zine ini?

FM: Selain terhibur, saya juga berharap pembaca atau penulis lebih berimaginasi di luar kotak ketika menulis karya. (Cakap macam dah tulis banyak buku pulak. Haha)

BP: Selain zine ini, ada menulis buku atau karya-karya lain? Kongsikan.

FM: Saya dalam proses menulis dua novel. Kalau terlalu pendek, saya cadang mahu buat zine sajalah.

BP: Apakah genre kegemaran anda dalam bidang penulisan?

FM: Dulu saya suka puisi, tapi menyedari tak semua orang boleh faham puisi, saya pun berhenti. Saya juga suka cerpen dan novel dengan syarat novel atau cerpen itu penulisnya lelaki.

BP: Mungkin boleh kongsikan antara karya-karya penulis lain yang menjadi kegemaran anda? Any recommendation?

FM: Sebelum novel atau karya-karya HAMKA menjadi terkenal seperti sekarang, saya dah lama membaca karya-karya beliau dan terinspirasi dengan idea dan gaya penulisannya. Selain hamka, saya suka baca cerpen-cerpen karya Abdul Rahim Kajai, Bapa Wartawan Malaysia.